BALIK PULAU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyediakan hampir 1,600 tan metrik stok penimbal ikan untuk memastikan bekalan makanan itu mencukupi dan tidak terputus ketika Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan depan.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil, berkata persediaan itu turut disokong organisasi swasta menerusi memorandum persefahaman (MoU) bagi memastikan bekalan ikan dapat diteruskan jika berlaku kelewatan atau kekurangan bekalan dalam pasaran.

"Selain itu, kita juga ada lebih 2,000 peniaga terbabit dengan ikan import yang menjadi antara mekanisme membantu menjamin kesinambungan bekalan sepanjang tempoh berkenaan.

"Alhamdulillah, seperti tahun-tahun lalu, bekalan ikan sentiasa ada dan kita akan mengekalkan momentum itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama-sama Nelayan di Teluk Bahang, di sini, hari ini.