Kuala Lumpur: Pengarah filem Pemuja Syaitan, Liyana Jasmay memohon maaf kepada penonton selepas berlaku masalah teknikal pada hari pertama tayangan semalam menyebabkan kualiti visual terjejas termasuk beberapa babak terlalu gelap sehingga sukar dilihat dengan jelas.

Liyana, 38, mengakui masalah itu berpunca daripada kesilapannya apabila terlalu yakin dengan kualiti visual yang disediakan sebelum tayangan, sekali gus menyebabkan filem berkenaan tidak dipaparkan mengikut standard sebenar.

Menerusi video yang dimuat naik di media sosial malam tadi, Liyana tidak dapat menahan sebak ketika meluahkan rasa terkilan kerana penonton yang membeli tiket pada hari pertama tidak dapat menikmati hasil akhir filem seperti yang dirancang.