KUALA LUMPUR: Pengarah filem Pemuja Syaitan, Liyana Jasmay, memohon maaf kepada penonton selepas masalah teknikal pada hari pertama tayangan semalam menyebabkan kualiti visual filem itu terjejas, termasuk beberapa babak yang terlalu gelap sehingga sukar dilihat dengan jelas.

Liyana mengakui masalah itu berpunca daripada kesilapannya sendiri apabila terlalu yakin dengan kualiti visual yang disediakan sebelum tayangan, sekali gus menyebabkan filem berkenaan tidak dipaparkan mengikut standard sebenar yang dihasratkannya.

Menerusi video yang dimuat naik di media sosial malam tadi, Liyana tidak dapat menahan sebak ketika meluahkan rasa terkilan kerana penonton yang membeli tiket pada hari pertama tidak dapat menikmati hasil akhir filem seperti yang dirancang.