Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah filem Pemuja Syaitan, Liyana Jasmay, 38, tidak berkecil hati dengan luahan Elizabeth Tan yang berterus-terang mengaku kecewa dengan mutu lakonannya selepas menonton hasil akhir karya itu.

Liyana yang kali pertama mengarah filem berkata, dia sudah menjelaskan kepada Elizabeth yang mesra disapa Lizzy bahawa lakonan pelakon itu sangat bagus dan tidak ada kelemahan seperti difikirkannya.

"Saya ada bercakap dengannya (Lizzy) yang dia sudah melakukan terbaik, serta lakonannya bagus. Malah, salah satu alasan kenapa saya pilih dia pun sebab saya tahu 'benda' itu ada dekat dalam dirinya.

"Memang saya tidak marah (dengan luahan Lizzy) pun. Saya rasa macam benda itu semua orang sebagai pelakon akan ada rasa tidak puas dengan apa sudah dipersembahkan. Saya pun pernah ada rasa macam itu juga, dulu-dulu.