KUALA LUMPUR: Seorang penuntut universiti warga China dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan mencederakan bekas teman wanita dan adik lelaki wanita itu, bulan lalu.
Tertuduh, Chen Jun, 20, yang hadir berkerusi roda bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suhaila Haron.
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Leong Kai Ting, 21, dan adik lelakinya, Leong Shun Jie, 18, dengan menikam kedua-dua mangsa menggunakan pisau yang boleh menyebabkan kematian di sebuah rumah di Taman Sri Bintang di Kepong di sini pada 5 pagi, 29 September lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.









