JAKARTA: Agensi antirasuah Indonesia menahan lima individu termasuk Bima Setyawan, adik kepada ketua agensi pengurusan bencana negara itu, berhubung dakwaan rasuah membabitkan dana bantuan kecemasan.
Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia (KPK) menahan semua suspek semalam, sehari selepas melakukan serbuan di Jakarta dan kawasan sekitarnya.
Tangkapan dibuat berhubung dakwaan berlaku pelanggaran peraturan dalam perolehan barangan dan perkhidmatan di Agensi Pengurusan Mitigasi Bencana Nasional (BNPB).
Pengerusi KPK, Setyo Budiyanto, berkata penyiasat sedang meneliti petunjuk kemungkinan wujud pakatan antara pegawai agensi itu dengan syarikat swasta berhubung penyaluran dan penggunaan dana kecemasan.









