PETALING JAYA – Sebanyak 69,001 kes penipuan bersemuka direkodkan di Malaysia sepanjang tahun lepas.

Menerusi infografik Statistik Jenayah, Malaysia 2025 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), data itu menunjukkan penipuan, pemalsuan atau rasuah merupakan antara kategori yang diberi perhatian dalam pengelasan jenayah negara berdasarkan Klasifikasi Jenayah Antarabangsa untuk Tujuan Statistik (ICCS).

Selain penipuan bersemuka, sebanyak 6,522 kes keganasan rumah tangga direkodkan bagi tahun sama sekali gus memperlihatkan perbuatan yang menyebabkan atau bertujuan mendatangkan kemudaratan kepada individu.

Dalam kategori jenayah terhadap harta yang melibatkan keganasan atau ancaman terhadap seseorang, sebanyak 3,108 kes samun direkodkan.