SEGAMAT: Sepasang suami isteri masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada rumah mangsa sindiket pinjaman wang tidak berlesen (along) pada Isnin lalu.
Kedua-dua tertuduh, Wan Aizat Azwan Wan Salleh, 40, dan Prima Septia Lily, 44, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Fadilah Johannuddin.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, pasangan terbabit dituduh bersama-sama dengan niat hendak menyebabkan kebinasaan pada harta, iaitu rumah mangsa, dengan cara menyimbah cat berwarna merah di Jalan Mida 2/1, Taman Mida 2 di sini, sekitar jam 11.21 pagi 12 Oktober lalu.








