Segamat: Suami isteri masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada rumah mangsa sindiket pinjaman wang tidak berlesen (along), Isnin lalu.

Majistret Nor Fadilah Johanuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Aizat Azwan Wan Salleh, 40, dan Prima Septia Lily, 44, selepas mereka mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, pasangan berkenaan dituduh bersama-sama dengan niat hendak menyebabkan kebinasaan kepada harta iaitu rumah mangsa dengan cara menyimbah cat berwarna merah di Jalan Mida 2/1, Taman Mida 2, di sini, 11.21 pagi, 12 Oktober lalu.