TANPA pendidikan formal dalam sesuatu bidang bukan halangan untuk seseorang mencipta kejayaan dan memenuhi impian yang diinginkan.

Ini dibuktikan pasangan suami isteri, Baudin Taksis, 66 dan Mariah Abd Razak, 60, yang mengusahakan bidang bakeri menerusi jenama tempatan, Roti Maria di Kampung Sungai Mahang, Nilai, Negeri Sembilan.

Baudin mengakui, ketekunan dan keberanian mempelajari bidang baharu mampu membuka jalan kejayaan dalam dunia keusahawanan.

Bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama lebih 20 tahun itu menggunakan pengalaman berkenaan untuk menceburi bidang baharu walaupun ia jauh daripada kepakaran yang dimilikinya.

Bagaimanapun, katanya menerusi sokongan daripada isteri, beliau memberanikan diri untuk mengusahakan bidang bakeri sebagai sumber pendapatan keluarga sebaik bersara daripada pasukan keselamatan itu.