am@hmetro.com.my

Kuala Pilah: Dua remaja lelaki berusia 16 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh pelajar tingkatan dua junior sebuah sekolah di sini, hujung bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslinda Razali, memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua remaja itu dituduh membunuh Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, antara 7.30 malam hingga 8.50 malam di asrama sebuah sekolah di Kuala Pilah pada 25 September lalu.

Mereka didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.