BUTTERWORTH : Sebanyak 97,240 tan metrik tuna dan spesies seumpamanya bernilai kira-kira RM980 juta berjaya didaratkan sepanjang tahun lepas sekali gus membuktikan bahawa masih wujud potensi industri perikanan bernilai tinggi untuk terus dikembangkan di negara ini pada masa depan.
Pengarah Kanan Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan, Jabatan Perikanan (DOF), Ruzaidi Mamat berkata, jumlah itu melebihi separuh daripada sasaran pendaratan oleh kerajaan iaitu sehingga 150,000 tan metrik tuna menjelang 2030 menerusi Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021-2030.
“Selain pendaratan tuna, kerajaan juga menyasarkan untuk menambah bilangan vesel penangkapan tuna Zon C3 yang dilesenkan untuk beroperasi di Lautan Hindi kepada 70 buah,” katanya.









