KUANTAN – Seorang pengurus dan pembantu pengurus sebuah rangkaian restoran makanan di Pekan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Jumaat atas sembilan pertuduhan pecah amanah membabitkan wang jualan syarikat berjumlah RM58,400.30.Tertuduh, Siti Norsuzuanie Ali, 29, dan Muhammad Zulhilmi Ahyauddin, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang bertugas di restoran di cawangan Pekan didakwa secara bersama melakukan pecah amanah dengan memanipulasi transaksi bayaran balik dalam sistem Point of Sale (POS) membabitkan 1,199 resit tanpa kebenaran syarikat.Mereka didakwa melakukan kesalahan itu menerusi sembilan pertuduhan membabitkan transaksi dari Januari hingga September lalu dengan jumlah kerugian keseluruhan RM58,400.30.Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 9 pagi hingga 10 malam di premis berkenaan.Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 14 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Azizah Ahmad menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan, termasuk melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.Bagaimanapun, peguam Datuk Zahaman Zainal Abidin yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan paling minimum dengan alasan ia bertujuan memastikan kehadiran anak guamnya ke mahkamah, bukannya sebagai hukuman."Anak guam saya, Siti Norsuzuanie berpendapatan antara RM1,900 hingga RM2,200 sebulan dan perlu menanggung seorang anak perempuan berusia sembilan tahun serta ibunya yang uzur."Manakala Muhammad Zulhilmi memperoleh pendapatan antara RM1,700 hingga RM2,200 sebulan dan menanggung ibu warga emas serta seorang adik yang masih belajar," rayuannya dalam prosiding tersebut.Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM9,000 setiap tertuduh bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.Kes disebut semula pada 23 November depan.