PUTRAJAYA - Malaysia masih menunggu hasil perbincangan dengan Kerajaan Myanmar sebelum meneruskan fasa seterusnya program penghantaran pulang warga negara itu.Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada Kementerian Luar yang akan mengendalikan rundingan dengan Kerajaan Myanmar berhubung operasi berkenaan."Kita masih menunggu maklum balas daripada Kementerian Luar bagi rundingan dengan Kerajaan Myanmar."Selepas kita menerima tarikh, pembabitan kita adalah dari segi operasi. Kita akan membuat persiapan diperlukan dan mengenal pasti mereka yang akan dihantar pulang," katanya dalam sidang akhbar operasi khas jabatan itu di sini pada Selasa.Zakaria berkata, Kerajaan Myanmar sebelum ini bersetuju menerima 5,000 individu, dengan 1,476 daripadanya sudah dihantar pulang."Ia bermakna lebih 3,000 individu lagi perlu dihantar pulang menerusi persetujuan berkenaan. Walaupun selepas 5,000 warga Myanmar dihantar pulang, kita akan melaksanakan operasi itu secara berterusan selepas ini."Tiada kuota untuk warga negara itu dihantar pulang, jika boleh, kita mahu mereka semua pulang," katanya.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seramai 1,476 warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal mereka pada 29 September lalu menerusi fasa pertama program penghantaran pulang berdasarkan senarai yang dikemukakan melalui nota diplomatik rasmi negara berkenaan.Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi kenyataan memaklumkan bahawa fasa penghantaran pulang seterusnya tertakluk kepada penyempurnaan proses pengenalpastian, dokumentasi dan verifikasi, selain kesiapsiagaan logistik serta penyelarasan operasi antara kedua-dua negara.Menurut KDN, kejayaan pelaksanaan fasa pertama itu mencerminkan kesungguhan dan komitmen Kerajaan MADANI dalam menangani isu berkaitan migrasi tidak teratur secara tegas, tersusun dan berkesan.