PONTIAN – “Saya sudah larang dan beritahu hari ini sekolah tidak dibuka, namun mereka tetap berkeras mahu ke sekolah.”

Itu luahan pilu seorang ibu, Julaiha Munaji, 43, yang kehilangan tiga anaknya serentak selepas mereka maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah di Jalan Kampung Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong, di sini, pagi tadi.

Lebih menyayat hati, dua daripada anaknya sempat menyiapkan kerja rumah sebelum ke sekolah meskipun sudah dimaklumkan bahawa sekolah tidak dibuka hari ini.

Menurut Julaiha, Nor Danial Fikri, 11, dan Puteri Naufa Raisha, 8, kemudian dihantar ke sekolah oleh abang mereka, Nor Danial Aiman Nor Lizan, 18, yang sedang menunggu keputusan untuk memasuki Pusat Giat Mara dalam bidang automotif.