KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti keberkesanan serta kesediaan pelaksanaan elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) di sekolah rendah.
Menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, KPM memaklumkan kandungan kurikulum yang dirangka adalah mengikut tahap perkembangan murid dan bukan bertujuan melatih murid untuk pekerjaan terlalu awal.
“Sebaliknya, kandungan tersebut membina asas pengetahuan, kemahiran dan nilai melalui aktiviti teknologi, reka bentuk, penghasilan produk, penyelesaian masalah, kreativiti, pemikiran komputasional serta amalan kerja yang selamat,” menurutnya.
KPM menjawab pertanyaan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai sama ada kajian keberkesanan dan kesediaan telah dilaksanakan berhubung pelaksanaan TVET di sekolah rendah mulai sesi persekolahan 2027, termasuk kandungan kurikulum, kompetensi guru, kemudahan serta impak terhadap perkembangan murid.










