TAWAU: Ketika persiapan perkahwinannya sudah hampir selesai dan hanya menunggu hari bahagia pada 19 Disember depan, bakal pengantin diuji apabila rumah keluarganya musnah dalam kebakaran di Lorong Fook Hwa, Batu 2, Jalan Apas, di sini, malam tadi.

Mazlin Jufri, 23, berkata, dia terkejut dengan kejadian yang memusnahkan rumah ibu bapanya dan 15 rumah lain dalam kebakaran kira-kira jam 9.30 malam itu.

Kerani syarikat swasta itu bagaimanapun bersyukur wang hantaran pihak pengantin lelaki tidak terjejas kerana sudah dimasukkan ke dalam bank beberapa hari sebelum kejadian.

Beliau berkata, persiapan untuk majlis perkahwinan juga sudah diatur termasuk jemputan kedua-dua pihak keluarga, selain tempahan perkhidmatan andaman dan butik pengantin.