KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa majikan untuk mengambil langkah proaktif bagi melindungi keselamatan, kesihatan, dan kebajikan pekerja memandangkan keadaan jerebu semakin buruk.

Ia termasuk menyesuaikan aturan kerja selaras dengan kualiti udara semasa serta keperluan keselamatan pekerjaan.

Penasihat Kanan MEF bagi Hal Ehwal Kerajaan, Media, dan Hubungan Antarabangsa, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata majikan mempunyai kewajipan berkanun di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA) untuk memastikan, keselamatan, kesihatan, dan kebajikan pekerja di tempat kerja.

"Keadaan jerebu yang semakin teruk merupakan peringatan bahawa keselamatan dan kesihatan pekerja mesti kekal sebagai keutamaan bagi setiap majikan. Pendedahan kepada udara tercemar boleh menjejaskan kesejahteraan pekerja, terutamanya mereka terlibat dalam aktiviti luar serta pekerja yang mempunyai masalah pernafasan atau kardiovaskular sedia ada," katanya dalam satu kenyataan hari ini.