DUNGUN: Pekebun di Kampung Tepus dekat sini mengalami kerugian lebih RM100,000 selepas kawasan kebun mereka dipercayai diceroboh seekor gajah liar sejak tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tepus, Mat Zaid Abdulah, 56, berkata kerugian berkenaan membabitkan kemusnahan tanaman kelapa sawit, pisang dan kelapa yang diusahakan di kebun seluas lebih 12 hektar, termasuk yang sudah mengeluarkan hasil.

"Malah pada tahun ini, gajah liar itu menceroboh kawasan kebun lebih 10 kali, menyebabkan sebahagian pekebun tidak lagi berminat mengusahakan kebun mereka kerana tidak sanggup menanggung kerugian berulang.

"Kejadian terbaharu berlaku Rabu lalu apabila haiwan berkenaan memasuki dan memusnahkan kebun pisang yang diusahakan dua pekebun," katanya ketika ditemui di Kampung Tepus di sini, hari ini.