SEREMBAN – Abang sulung kepada Allahyarham Norhazwani Ibrahim, 35, yang menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Kawalan Sempadan (AKPS) kerana banyak membantu keluarganya menguruskan jenazah adiknya yang dipercayai dibunuh suami sendiri, malam Jumaat lalu.

Amran Ibrahim, 59, berkata, keprihatinan kedua-dua agensi berkenaan amat dihargai, terutama dalam memastikan segala urusan membawa pulang jenazah adiknya ke Kelantan berjalan lancar.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Kastam dan AKPS kerana banyak membantu keluarga saya. Urusan membawa jenazah dan segala perkara berkaitan, mereka sangat ambil berat,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban hari ini.