SEREMBAN: Punca kematian pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Allahyarhamah Norhazwani Ibrahim yang dipercayai dibunuh suaminya di sebuah rumah di Nilai pada Khamis lalu, dikenal pasti akibat tekanan pada leher.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata ia berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan selama kira-kira lima jam di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini, hari ini.

"Bedah siasat dijalankan dari jam 9.40 pagi hingga 2.30 petang tadi oleh Dr Akma Nurain Fairuz Mahamad Arif di HTJ.

"Dapatan awal bedah siasat itu menunjukkan punca kematian ialah tekanan pada bahagian leher," katanya dalam satu kenyataan.