KUALA LUMPUR: Dua aksi Liga Super malam esok menjanjikan pertarungan hangat dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) berpeluang mengukuhkan cengkaman di puncak liga, manakala Kuching City FC (KCFC) bertekad mempertahankan kedudukan tiga teratas.

Perhatian utama terarah ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin apabila pendahulu liga, JDT dijadualkan bertandang ke laman Terengganu FC (TFC) pada jam 9.00 malam bagi misi meneruskan rekod bersih tanpa kalah.

Dengan koleksi 15 mata setakat ini, skuad Harimau Selatan berpeluang mengukuhkan kedudukan di persada carta, namun cabaran fizikal menanti berikutan jadual padat dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) dan Kejohanan Kelab ASEAN (ACC).

Bagaimanapun, TFC memiliki sedikit kelebihan fizikal menerusi tempoh rehat yang lebih panjang, sekali gus bersiap sedia memanfaatkan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri bagi menyekat dominasi gergasi Selatan itu.