MELAKA: Malaysia berdepan cabaran memperkukuh industri koko tempatan apabila sebahagian besar bekalan untuk memenuhi keperluan industri pemprosesan negara bergantung kepada import.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata keadaan itu perlu ditangani menerusi usaha meningkatkan pengeluaran koko tempatan, sekali gus memperkukuh rantaian bekalan industri berkenaan.
Beliau berkata, walaupun industri pemprosesan koko Malaysia terus berkembang dan menyumbang nilai eksport besar, pengeluaran tempatan perlu dipertingkat bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan luar negara.
"Justeru, kementerian mahu memperkukuh keseluruhan industri koko, bermula daripada pekebun yang menanam sehinggalah kepada usahawan yang menghasilkan produk untuk pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya ketika merasmikan A Malaysian Cocoa Affair 2026 anjuran Lembaga Koko Malaysia (LKM) di sebuah pusat beli-belah di Banda Hilir, di sini, hari ini.










