Sungai Petani: Kebangkitan penuh bergaya Highlander A dan aksi dominan ALFA Cafe MIBJ menjadi tiket berharga buat kedua-dua pasukan untuk memburu gelaran juara Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 Zon Utara.

Highlander A membuktikan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menyingkirkan SSTMI B dalam aksi separuh akhir di Arena of Sport, hari ini.

Ketinggalan 7-15 pada set pembukaan tidak mematahkan semangat Highlander A yang kembali menyusun rentak permainan sebelum mengikat kedudukan menerusi kemenangan 15-10 pada set kedua.

Momentum itu terus dimanfaatkan Highlander A untuk menguasai set penentuan 15-11, sekali gus mengesahkan kemaraan ke final selepas pertarungan tiga set yang mendebarkan.