KUALA LUMPUR: Pemain muda negara, Low Zi Yu berada di landasan tepat untuk memburu gelaran berganda pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Kaherah, Mesir selepas mara ke kelompok 32 terakhir acara beregu campuran dan beregu perempuan, hari ini.

Pemain berusia 16 tahun itu terlebih dahulu bergandingan dengan Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal dalam beregu campuran untuk menewaskan pasangan Brazil, Klecivan Silva-Laura Roviezzo, 15-7, 15-3 dalam tempoh hanya 14 minit.

Pasangan pilihan utama yang juga juara remaja Asia itu akan berdepan wakil Amerika Syarikat, Zicheng Xu-Jasmine Yeung, dalam aksi seterusnya.

Zi Yu kemudian kembali ke gelanggang bersama Genevie Lim dalam acara beregu wanita dan sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang apabila pasangan pilihan kedua itu menewaskan gandingan Hungary, Eliza Liang-Jana Weissenbach, 15-3, 15-3 dalam tempoh 15 minit.