KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur sedang menyiasat dakwaan penyelewengan dalam urusan pengeluaran pas khas yang dilaporkan berlaku di pejabat jabatan itu.Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Datuk Hamsha Injau berkata, pihaknya memandang serius dakwaan yang dilaporkan sebuah portal berita pada Sabtu.Menurutnya, Bahagian Integriti JIM Kuala Lumpur telah diarahkan menjalankan siasatan bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan."Bahagian Integriti JIM Kuala Lumpur akan menjalankan siasatan bagi menentukan kesahihan dakwaan tersebut dan kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku."Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat bukti berlakunya pelanggaran undang-undang atau peraturan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya berurusan melalui saluran rasmi JIM dan tidak menggunakan khidmat orang tengah yang tidak diberi kuasa."JIM komited memastikan penyampaian perkhidmatan yang berintegriti, telus dan profesional demi memelihara kepercayaan masyarakat terhadap jabatan," katanya.Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan dakwaan penyalahgunaan kemudahan pas khas kepada warga asing yang dipercayai digunakan secara sistematik untuk melanjutkan tempoh keberadaan mereka di Malaysia.Laporan tersebut turut mendakwa kegiatan berkenaan melibatkan orang tengah tempatan yang menguruskan permohonan, mengumpulkan pasport pemohon serta menghantar gambar mereka kepada pegawai imigresen melalui aplikasi pesanan bagi tujuan pengesahan awal.Bagaimanapun, Hamsha menegaskan JIM akan menyiasat secara menyeluruh semua dakwaan yang dibangkitkan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.