Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIM WPKL) akan menyiasat dakwaan penyelewengan dalam urusan pengeluaran pas khas yang dilaporkan berlaku di pejabat Imigresen Kuala Lumpur.
Pengarah berkenaan Datuk Hamsha Injau berkata, Bahagian Integriti JIM WPKL akan menjalankan siasatan bagi menentukan kesahihan dakwaan itu dan tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku.
"Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat bukti pelanggaran undang-undang atau peraturan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk berurusan melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia dan tidak menggunakan khidmat orang tengah yang tidak diberikan kuasa.








