Kuala Lumpur: Myanmar menyasarkan pelaburan Malaysia yang lebih besar dan kerjasama ekonomi lebih erat untuk meningkatkan perdagangan dua hala, termasuk menerusi pengurangan halangan perdagangan, akses pasaran yang lebih baik dan pengeluaran barangan dengan nilai tambah, kata Presiden Min Aung Hlaing.

Beliau berkata, Malaysia adalah rakan dagangan keempat terbesar Myanmar dan pelabur kesembilan terbesar, dengan dialog perniagaan yang diadakan semasa lawatannya memberikan peluang untuk mengembangkan perdagangan dan pelaburan.

"Dalam mesyuarat kami hari ini, kami mengutamakan dan mengetengahkan perkara berkaitan kerjasama ekonomi dan pelaburan untuk meningkatkan lagi jumlah dagangan," katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya semasa lawatan rasmi dua hari beliau ke Malaysia, yang bermula Rabu.