KUALA LUMPUR: Sebanyak 143 projek pusat data bernilai RM144.4 bilion direkodkan di Malaysia antara 2021 hingga pertengahan 2025, namun pelaburan besar itu menghasilkan sangat sedikit pekerjaan langsung.

Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dalam laporan 'Beyond the Middle-Income Trap: Does Malaysia's Growth Model Deliver Broad-Based Prosperity?' mendedahkan, pelaburan mega itu turut menyaksikan peluang pekerjaan yang diwujudkan dijangka tidak banyak melimpah keluar dari wilayah hab pusat data berkenaan.

KRI berkata, keadaan itu berkait dengan ciri pusat data yang bersifat intensif dari segi tanah dan tenaga, berbanding penggunaan tenaga kerja.

Sebagai gambaran, sebuah pusat data berskala hiper boleh meliputi keluasan sebesar padang bola sepak dan menggunakan tenaga yang mencukupi untuk membekalkan kuasa kepada sebuah bandar kecil.