Hampir setiap hari kita mendengar perkataan 'sakau' bergema di pentas politik, ucapan rasmi hingga ke media sosial. Pada masa sama, kejayaan berskala antarabangsa seperti Formula 1 (F1) seketika mampu mengubah perbualan daripada apa yang tidak kena dengan negara kepada apa yang Malaysia masih mampu lakukan dengan baik. Kedua-duanya kelihatan tidak berkaitan, tetapi membawa kita kepada persoalan yang sama iaitu cerita apakah yang sedang kita bina tentang Malaysia?
Tidak dinafikan, 'sakau' ialah bahasa yang tajam, mudah difahami dan tepat menyasar rasuah serta ketirisan. Tetapi apabila terlalu kerap diulang, bahasa yang tajam juga boleh kehilangan sengatnya. Lebih parah apabila integriti menjadi modal sindiran sehingga wacana tatakelola mengecil kepada siapa lebih sakau' dan siapa lebih bersih. Rasuah terlalu serius untuk sekadar menjadi slogan. Integriti pula terlalu penting untuk dijadikan senjata politik.





