MALAYSIA masih berpeluang untuk kembali ke kalendar Formula Satu (F1), namun usaha itu perlu disokong rancangan perniagaan sekurang-kurangnya lima tahun yang merangkumi aspek pembiayaan, promosi dan logistik, kata Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) Mohammed Ben Sulayem."Pelaburan itu dan litar ini kedua-duanya sama hebat. Anda boleh lihat banyak perkara telah bertambah baik. Apa sahaja boleh berlaku. Maksud saya, lihat sahaja kalendar. Ia sentiasa berubah," katanya kepada sekumpulan media Malaysia terpilih dalam satu sesi meja bulat media pada Ahad.Ben Sulayem berada di Malaysia bagi menyaksikan Grand Prix Bahrain di Malaysia yang berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).Grand Prix (GP) Bahrain 2026 yang sepatutnya berlangsung pada 10 hingga 12 April bagaimanapun dijadualkan semula dan diadakan di SIC berikutan konflik di Asia Barat.Bersediakah Malaysia untuk kembali ke kalendar F1?Pada Ahad, Presiden Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata beliau percaya SIC mempunyai keupayaan dan pengalaman untuk menganjurkan semula F1 sekiranya Malaysia memutuskan untuk kembali ke kejuaraan itu.Menurut beliau, SIC berpengalaman dalam menganjurkan F1 dan ini sekali gus membolehkan pengurusan litar memastikan acara itu berlangsung dengan lancar.Ben Sulayem pula berkata, Malaysia mempunyai asas kukuh dalam sukan permotoran dan menyedari penambahbaikan yang telah dilakukan terhadap litar berkenaan, namun menegaskan rancangan perniagaan jangka panjang penting bagi sebarang usaha untuk membawa F1 kembali secara tetap."Memang wajar F1 kembali ke Malaysia. Kami mempunyai hubungan yang sangat baik dan Formula One Management (FOM) juga sangat terbuka terhadap perkara ini. Anda perlu merancang. Gagal merancang bermakna merancang untuk gagal."Sediakan rancangan perniagaan untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun dan kami akan menyokongnya," katanya.Ben Sulayem berkata, rancangan itu perlu merangkumi cara acara berkenaan dibiayai dan dipromosikan, selain aspek logistik.Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia perlu terlebih dahulu menentukan sama ada penganjuran F1 benar-benar memberi manfaat kepada kepentingan negara serta selaras dengan dasar ekonomi dan pelancongannya.Lebih-lebih lagi apabila melihat dari sudut komersial, F1 kini menerima minat yang kukuh daripada orang ramai.Ketika ditanya sama ada masih ada ruang dalam kalendar F1 untuk Malaysia kembali menganjurkan acara berprestij itu, khususnya dengan beberapa perlumbaan telah berlangsung di rantau Asia Pasifik, Ben Sulayem berkata, keseimbangan dari segi lokasi turut menjadi antara pertimbangan.Beliau menyebut perlumbaan di Australia, China, Singapura dan Jepun, sambil menambah bahawa kejuaraan itu secara peraturan boleh berkembang kepada 25 perlumbaan daripada 24 ketika ini.Ben Sulayem bagaimanapun memaklumkan bahawa FIA kini lebih mengutamakan penambahan pasukan berbanding sekadar menambah jumlah perlumbaan."Kami mengutamakan keseimbangan. Tetapi adakah kita mahu menambah satu lagi perlumbaan? Saya sentiasa mahu lebih banyak pasukan dan bukannya lebih banyak perlumbaan," katanya sambil menambah bahawa cita-cita Malaysia dalam sukan permotoran tidak seharusnya terhad kepada F1."Anda mempunyai ramai peminat tegar yang meminati sukan permotoran. Apa yang anda tawarkan kepada mereka?" katanya sambil menggalakkan lebih banyak bentuk sukan permotoran yang mudah diakses, termasuk karting, cross-car dan rali.Beliau berkata, sambutan terhadap GP Bahrain di Malaysia menunjukkan bahawa minat peminat sukan permotoran negara kekal tinggi walaupun Malaysia sudah tidak berada dalam kalendar F1.Kerjasama Bahrain-MalaysiaBen Sulayem turut kagum dengan cara GP Bahrain di Sepang dikendalikan, khususnya dari segi kelancaran urusan logistik serta kerjasama antara petugas Malaysia dan Bahrain yang berlangsung dari awal hingga akhir."Dalam penganjuran kali ini, rakyat Malaysia dan Bahrain bekerjasama dari awal hingga akhir. Keserasian di lapangan inilah yang benar-benar mengagumkan saya. Ia sangat mengagumkan," katanya.Beliau berkata, penganjuran acara itu turut memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dengan menghidupkan semula pengalaman dalam bidang seperti pengurusan perlumbaan, kerja sukarela dan pengurusan acara, selain memuji peminat serta petugas sukan permotoran Malaysia yang berpengetahuan dan bersemangat.Ketika ditanya mengenai pengurusan acara secara keseluruhan, khususnya pengurusan trafik, Ben Sulayem berkata, tumpuan seharusnya diberikan kepada usaha mencari penyelesaian dan bukannya menyalahkan mana-mana pihak."Semua orang boleh mengadu, tetapi adakah anda mempunyai penyelesaian?" katanya. - Bernama