Dunia pekerjaan sentiasa berubah mengikut zaman. Pekerjaan suatu ketika dahulu menjadi pilihan ramai, hari ini semakin kurang kelihatan, manakala pekerjaan baharu pula muncul seiring perkembangan teknologi dan perubahan gaya hidup masyarakat.
Contohnya pada era 1980-an dan 1990-an, antara pekerjaan agak biasa dalam kalangan anak muda ialah menjadi penghantar dokumen atau 'mat despatch'. Dengan motosikal, mereka bergerak dari satu pejabat ke satu pejabat, menghantar surat, dokumen dan barangan kecil.
Pekerjaan itu mungkin tidak glamor, tetapi bagi sesetengah anak muda, ia menjadi sumber pendapatan sementara menunggu peluang pekerjaan lebih baik atau sekadar mencari rezeki. Masa berubah, teknologi berkembang dan cara manusia bekerja turut berubah. Hari ini, pekerjaan seumpama itu mengambil wajah baharu dalam ekonomi gig, khususnya menerusi penghantaran makanan dan barangan atau p-hailing.






