KUALA LUMPUR: Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan momentum cemerlang untuk menempah tiket ke final selepas menyingkirkan pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, pada separuh akhir Terbuka Denmark, sebentar tadi.

Dalam perlawanan itu, Aaron-Wooi Yik menunjukkan kelebihan mereka apabila berjaya mengimbangi permainan pantas Won Ho-Seung Jae selain melakukan sedikit kesilapan untuk memastikan kemenangan straight set 21-14, 21-18 dalam tempoh 38 minit.

Meskipun beregu Korea itu cuba bangkit pada penghujung set kedua, Aaron-Wooi Yik tetap tenang dan tidak terperangkap dengan kepantasan lawan untuk memastikan mata kemenangan memihak kepada mereka.

Dalam pada itu, Wooi Yik melihat peningkatan aspek pertahanan dan kekuatan di gelanggang belakang menjadi antara fokus utama mereka ketika menentang pasangan Korea itu selain memperkemas kawalan serta pergerakan bulu tangkis bagi mengelakkan kehilangan mata penting.