MACHANG: Depot imigresen negara kini menghadapi tekanan kapasiti susulan operasi penguatkuasaan terhadap pendatang tanpa izin yang dilaksanakan setiap hari, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, kapasiti keseluruhan depot imigresen ialah kira-kira 20,000 orang, namun kemasukan individu ditahan menerusi operasi berterusan menyebabkan kemudahan terbabit berdepan kesesakan.

"Hasil operasi berterusan itu, Jabatan Imigresen telah membangunkan pemetaan kawasan tumpuan warga asing berdasarkan pengumpulan dan analisis data bagi mengenal pasti lokasi mereka tinggal, menginap atau berkumpul.

"Individu ditahan terdiri daripada mereka yang tidak memiliki dokumen perjalanan, menggunakan pas tamat tempoh, menyalahgunakan pas yang dikeluarkan, atau individu berstatus pelarian," katanya.