KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melangkah ke final Terbuka Denmark selepas mengejutkan pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, hari ini.
Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking keempat dunia mempamerkan aksi cemerlang untuk menundukkan pilihan utama itu menerusi kemenangan straight set 21-14, 21-18 dalam aksi separuh akhir di SJF Bank Arena, Odense.
Kemenangan itu cukup bermakna buat pasangan negara yang kembali bergandingan selepas menjalani tempoh percubaan bersama pasangan lain bagi mencari kombinasi terbaik untuk menghadapi cabaran akan datang.
Kejayaan tersebut turut menyaksikan Aaron-Wooi Yik mengulangi kemenangan ke atas gandingan Korea Selatan itu selepas menyingkirkan mereka pada separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di India, Ogos lalu.








