Kuala Lumpur: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mahu mengekalkan momentum kemenangan selepas menyingkirkan rakan senegara, Aaron Tai-Yap Roy King untuk mara ke suku akhir Terbuka Denmark, hari ini.

Soh Wooi Yik berkata, konsistensi permainan menjadi keutamaan mereka bagi memastikan kemaraan dapat diteruskan dalam kejohanan berstatus Super 750 berkenaan.

Katanya, mereka sudah menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang di Arena SJF Bank dan mahu memanfaatkan kelebihan itu pada aksi seterusnya.

"Kami sudah banyak kali bermain di sini, jadi kami sudah menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang. Kami mahu mengekalkan momentum dan sentiasa konsisten dalam permainan. Itu sasaran utama kami," katanya kepaa Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.