Kuala Lumpur: Residensi Siswa Universiti Malaya (UM) yang akan dilaksanakan dengan kadar segera mampu menempatkan sehingga 40,000 penuntut, dalam usaha menangani keperluan mendesak penginapan penuntut di universiti berkenaan.

Fasa pertama projek itu membabitkan pembinaan kolej kediaman berkapasiti 10,000 pelajar yang dijangka siap pada 2030, manakala fasa dua bagi 30,000 pelajar.

Inisiatif itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025, yang menekankan keperluan menangani isu penginapan pelajar universiti melalui pembangunan residensi.

Mesyuarat Khas Pemantauan Projek Strategik Negara Bilangan 3 Tahun 2025 pada 15 Disember lalu turut menekankan keperluan mempermudah proses perancangan dan melaksanakan projek menerusi kerjasama strategik dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membolehkan pembinaan dimulakan segera.