Kuala Lumpur: Tiada rakyat Malaysia terjejas akibat banjir di Istanbul, Turkiye, susulan hujan lebat luar biasa dan angin kencang sejak lewat malam kelmarin.
Konsul Malaysia di Istanbul, Mardhiah Sabri berkata, pihak konsulat memantau rapat keadaan itu bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di bandar berkenaan.
"Sehingga tengah hari waktu tempatan, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas secara serius. Konsulat juga terus berhubung rapat dengan wakil komuniti Malaysia dan persatuan pelajar bagi memastikan bantuan konsular dapat diberikan dengan segera sekiranya diperlukan.
"Nasihat keselamatan turut dikeluarkan menerusi saluran rasmi konsulat," katanya kepada Buletin Utama TV3.









