KUALA LUMPUR: Pengarah dan pelakon, Liyana Jasmay, tidak berkecil hati dengan luahan Elizabeth Tan yang mengakui kurang berpuas hati dengan mutu lakonannya dalam filem seram, Pemuja Syaitan, sebaliknya memahami keinginan pelakon itu untuk memberikan persembahan terbaik.
Liyana, 38, berkata, perasaan tidak puas hati terhadap lakonan sendiri adalah perkara biasa dalam kalangan pelakon yang sentiasa mahu memperbaiki mutu persembahan, malah beliau sendiri pernah melalui pengalaman sama.
Katanya, beliau tetap berpuas hati dengan lakonan Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy, dan percaya pelakon itu berjaya membawakan watak yang diberikan mengikut acuan ditetapkan.
"Saya ada cakap dengan dia yang lakonannya sudah cukup bagus. Salah satu sebab saya memilih dia adalah kerana saya tahu karakter itu ada dalam dirinya.










