KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan utama global apabila merekodkan ketibaan 28.8 juta pelancong antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu.

​Jumlah terbabit mencatatkan peningkatan sebanyak 1.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, berkata pencapaian positif itu berpunca daripada strategi ampuh hasil gabungan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta penggiat industri tempatan.

Katanya, usaha bersama itu berjaya memastikan sektor pelancongan negara kekal berdaya tahan meskipun terpaksa mendepani pelbagai cabaran geopolitik dan persekitaran global seperti isu jerebu serta konflik peperangan di Asia Barat.