Kuala Lumpur: Penyanyi era 1980-an dan 1990-an, Datin Ramziela Radzillah, 61, tidak menafikan pernah dipandang serong oleh segelintir masyarakat kerana status sebagai penyanyi kelab yang dianggap berperilaku tidak baik.
Ramziela berkata, beliau yang aktif menyanyi di kelab pada era itu bagaimanapun tidak menghiraukan cakap-cakap orang kerana tanggapan negatif sekadar andaian mereka sahaja.
"Orang dulu pun ada yang pandang serong kepada penyanyi-penyanyi kelab. Tetapi, bagi saya situasi sebenar tidak seperti itu. Saya lagi 'respect' (hormat) kalau penyanyi kelab sebab saya tengok cara mereka bila menyanyi umpama macam giat belajar.
"Boleh lihat macam mana awak belajar 'deliver' untuk persembahan, nak menyanyi dan paling 'best' dapat belajar banyak genre lagu, banyak bahasa. Macam saya, ketika itu pernah menyanyi di banyak hotel 'area' Bukit Ferringhi, Pulau Pinang.








