Singapura: Singapura sedang meneliti syarikat yang mungkin bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan di Indonesia sehingga menyebabkan keadaan jerebu di rantau ini semakin buruk, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.
Beliau berkata, kerajaan akan mengambil tindakan mengikut Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura sekiranya wajar, selain meneroka kemungkinan tindakan bersama dengan negara lain.
"Jerebu berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia yang diburukkan lagi oleh tempoh cuaca kering yang berpanjangan.
"Kami telah menawarkan bantuan kepada Indonesia dan akan terus bekerjasama rapat dengan negara itu serta rakan ASEAN kami untuk menangani isu ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada malam Khamis.









