KUALA LUMPUR: Program Budi Belia yang menawarkan insentif e-dompet RM100 kepada golongan muda yang aktif dalam aktiviti kesukarelawanan dijangka menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi pemimpin masa depan yang berintegriti dan bertanggungjawab.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata inisiatif diumumkan menerusi Belanjawan 2027 itu bukan sekadar menghargai pembabitan aktif golongan belia, malah menjadi platform penting untuk memupuk nilai kepekaan dan keprihatinan terhadap masyarakat.
"Pembentukan pemimpin yang baik sebenarnya bermula dengan kepekaan dan keprihatinan, yang boleh dipupuk melalui penglibatan dalam aktiviti kesukarelawanan.
"Justeru, pada tahun depan, kerajaan melihat usaha melahirkan sukarelawan yang hebat mampu membantu membentuk lebih ramai pemimpin berkualiti," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam ini.









