JOHOR BAHRU: Sektor Industri Asas Tani (IAT) Johor mencatat nilai jualan RM517 juta tahun lalu, menyumbang 30 peratus daripada keseluruhan nilai jualan sektor itu di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri, Md Israk Abdullah berkata, pencapaian itu disumbangkan hampir 1,800 usahawan berdaftar di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Johor.
Katanya, seramai 336 usahawan berjaya meningkatkan tahap perniagaan masing-masing tahun lalu berbanding 262 orang pada 2024.
“Daripada jumlah itu, seramai 48 usahawan merekodkan nilai jualan melebihi RM1 juta, meningkat berbanding 40 usahawan pada tahun sebelumnya,” katanya selepas merasmikan Ekspo IAT Johor 2026 di Angsana Johor Bahru Mall, di sini.










