Malaysia merekodkan 28.8 juta pelancong antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, meningkat 1.8% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Angka ini menunjukkan sektor pelancongan negara terus bergerak dalam arah positif ketika Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 sedang diperkukuh.
Pada pandangan saya sebagai pensyarah dalam bidang pelancongan, pencapaian ini wajar dilihat lebih jauh daripada jumlah ketibaan semata-mata. Pertumbuhan 1.8% tetap positif, tetapi ia juga mengingatkan kita persaingan mendapatkan pelancong semakin sengit. Malaysia perlu memastikan setiap pertambahan ketibaan menghasilkan pengalaman yang lebih baik, tempoh tinggal yang lebih bermakna dan manfaat ekonomi yang lebih luas.






