Singapura: Kualiti udara di seluruh Singapura diramal kekal pada tahap tidak sihat atau mencapai paras bawah julat sangat tidak sihat pada Jumaat berikutan jerebu asap tebal dari Kalimantan yang terus bergerak ke arah republik itu, menurut Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA).

Dalam ramalan cuaca dan jerebu hariannya, NEA memaklumkan hujan dijangka berlaku di Singapura dan kawasan sekitarnya pada Jumaat serta sepanjang hujung minggu, manakala selatan Sumatera dan beberapa kawasan di Kalimantan berkemungkinan kekal kering.

"Dengan angin diramal bertiup dari timur-tenggara atau tenggara, jerebu asap dari Kalimantan berkemungkinan terus dibawa ke arah Singapura," menurut agensi itu pada Khamis.

NEA memaklumkan pada hujung minggu, angin dijangka berubah arah dan bertiup dari tenggara atau selatan, yang boleh mengurangkan pergerakan jerebu asap dari Kalimantan ke Singapura.