JOHOR BAHRU: Astaka Padu Sdn Bhd dan Kimlun Corporation Bhd akan membangunkan Amora Serviced Residence (ASR) bernilai pembangunan kasar RM450 juta di Tampoi, menawarkan 617 unit kediaman servis dengan harga jualan indikatif bermula RM600,000 seunit.

Menurut kenyataan bersama Astaka Padu dan Kimlun, projek yang dijangka dilancarkan secara rasmi menjelang akhir tahun ini adalah kerjasama keempat kedua-dua kumpulan menerusi syarikat usaha sama, Astaka Kimlun Sdn Bhd.

ASR akan dibangunkan di atas tanah komersial pegangan bebas seluas kira-kira 2.45 ekar, bersebelahan Lebuhraya Pasir Gudang dan taman bandar seluas 15 ekar.

Syarikat memaklumkan lokasinya kira-kira 15 minit perjalanan dengan kereta dari Stesen Sistem Transit Rapid Bukit Chagar dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Johor Bahru.