Kuala Lumpur: Peratusan kemasukan dan penggunaan perkhidmatan oleh pesakit bukan warganegara termasuk warga Rohingya di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) adalah rendah berbanding jumlah keseluruhan pesakit.

KKM dalam kenyataan berkata, perkhidmatan itu juga kekal dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia.

Katanya, KKM sentiasa meneliti trend penggunaan kemudahan fasiliti kesihatan oleh golongan bukan warganegara dari semasa ke semasa bagi tujuan perancangan kapasiti dan perlindungan tahap kesihatan awam secara menyeluruh.

Katanya, sistem maklumat dan pendaftaran pesakit KKM mengkategorikan rekod kemasukan secara ketat mengikut status kewarganegaraan, iaitu warganegara dan bukan warganegara.