Kuala Lumpur: Hasrat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk bangkit dalam acara pecut individu tidak kesampaian apabila tewas pada peringkat kalah mati di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2026, hari ini.

Dalam perlumbaan itu, Azizulhasni turun dengan misi untuk melangkah ke suku akhir, namun lawannya dari Great Britain, Harry Ledingham-Horn, dilihat lebih bersedia apabila mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mengetepikan wakil negara itu dengan perbezaan masa 0.021 saat (s).

Kekalahan itu menyaksikan perjuangan Azizulhasni atau The Pocket Rocketman berakhir selepas dirinya turut tersingkir pada peringkat lapan terbaik acara keirin sebelum ini.

Pada peringkat kelayakan, pelumba berusia 38 tahun itu mencatat masa 9.564s untuk menduduki tempat kelapan keseluruhan sebelum menentang Cristian David Ortega Fontalvo dari Colombia di peringkat pertama.