PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menjadi sandaran utama Malaysia dalam acara individu pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Shanghai, China, dari 14 hingga 18 Oktober ini selepas muncul satu-satunya pelumba negara yang layak beraksi dalam acara pecut individu dan keirin.
Kelayakan itu hadir selepas pelumba berusia 38 tahun berkenaan memenangi kedua-dua acara pada saingan Piala Dunia Trek Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tahun ini, sekali gus meletakkannya sebagai taruhan utama negara untuk menghadapi persaingan bertaraf dunia.
Pengarah teknikal berbasikal kebangsaan, John Beasley berkata, tumpuan Azizulhasni perlu diberikan kepada persediaan dan prestasi sendiri menjelang kejohanan berkenaan, terutama apabila perhatian turut terarah kepada misinya memburu penampilan keenam di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).








